Assalamualaikum.. Dah lama rasanya tak tulis apa-apa disini.. Blog ni pon dah lama tak jenguk.. Hari ni aku, nak kongsi cerita sikit.. Harap sudilah baca cerita yang agak panjang ni..
SETIAP kerajaan mempunyai ketua atau raja. Bagi kerajaan diri, rajanya
ialah hati dan kerana itu ia perlu dipelihara sebaik-baiknya, diberikan
pendidikan dan asuhan sebegitu rupa, supaya kerajaan yang ditadbirnya
dalam keadaan baik.
Begitupun, hati mempunyai dua penasihat iaitu
akal dan nafsu. Ketika akal mengambil peranan sebagai penasihat, hati
menjadi baik kerana pertimbangan dapat dibuat seadil-adilnya, tetapi
apabila nafsu menjadi penasihat, hati turut berubah menjadi jahat.
Ketika
hati menjadi raja kepada sistem kerajaan diri, anggota fizikal yang
lain, seperti mata, telinga, mulut, tangan dan kaki adalah rakyat yang
perlu mengikut segala perintah dan peraturannya.
Jika hati
memerintahkan perkara baik, anggota badan sebagai rakyat mengikut saja
perintah berkenaan, turut melakukan perkara yang baik, tetapi apabila
hati memerintahkan kejahatan, jahatlah perbuatan dilakukan anggota
badan.
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, maksudnya: "Di dalam
tubuh anak Adam itu ada seketul daging, apabila daging itu baik, baiklah
seluruh anggota badan dan jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan.
Ketahuilah itulah hati."
Hati mempunyai keistimewaan berbanding
anggota yang lain. Ia adalah raja yang luar biasa, mahu tidak mahu kena
ditaati rakyatnya. Disebabkan ada hatilah manusia dapat mentadbir dan
menjalani sistem kehidupan di alam maya ini.
Di dalam hati
bersifat tersembunyi, pemimpinnya juga tersembunyi. Malaikat memimpin
hati dengan benda yang datang daripada Allah manakala syaitan memimpin
hati dengan benda yang datang daripada iblis.
Walaupun pada
hakikatnya semua perlakuan daripada Allah, tetapi kita sandarkan perkara
jahat kepada syaitan manakala perkara baik daripada Allah. Dari Allah
semestinya tepat lagi benar manakala daripada syaitan adalah kekufuran
dan tidak baik.
Orang selalu mengatakan kulit luaran sangat
sensitif kepada sesuatu, tetapi sebenarnya hati yang berada di dalam
diri lebih peka, sama ada pada perkara positif atau negatif. Hati akan
cepat terasa dan cepat tersinggung, malah dengan tiba-tiba juga boleh
hilang semua perasaan itu.
Kadangkala disebabkan manusia tidak
meneliti perjalanan hati di dalam diri, mereka berasa sudah cukup baik
dan tenang, sedangkan hakikat adalah sebaliknya, kerana sebaik saja
datang cabaran atau rangsangan dari luar, hatinya mudah cair, goyah dan
tidak lagi tenang.
Contohnya, apabila anda dimarahi, anda berasa
mahu memarahi kembali orang terbabit. Ini menunjukkan anda mempunyai
sifat pemarah. Apabila tiada rangsangan itu, anda merasakan tiada sifat
pemarah dan hati sudah berkeadaan baik.
Walaupun hati manusia cuma satu, tetapi kerana pelbagai cabaran mendatang, timbul pelbagai perasaan dan kesedaran.
Seseorang
yang berjaya akan berasa bangga atau riak dan ego dengan kejayaan itu
dan ada juga berasa syukur, malah malu kepada Allah. Pada waktu itulah
hati yang sensitif akan sedar.
Jika hati tidak sedar dia sudah
berbuat baik, ia adalah sifat terpuji kerana tidak berbangga dengan
kebaikan itu. Tetapi jangan pula sehingga hati tidak bersyukur kepada
Allah kerana dengan izin-Nya manusia dapat melakukan kebaikan.
Perkara
paling buruk ialah apabila hati tidak sedar ia sebenarnya jahat. Hati
tidak sedar rangsangan yang datang membuatkan ia bangga atau ego.
Lebih
berbahaya apabila hati yang jahat dianggap sebagai hati yang baik,
tidak sedar kejahatannya dan tidak cuba untuk berubah dengan bertaubat
atau melakukan muhasabah, bahkan terus berbuat jahat kerana berasakan
dirinya dalam kebaikan.
Kemudian, rasa hati terbahagi kepada dua
dan kedua-duanya adalah benih yang ditanam Allah ke dalam hati manusia.
Ini adalah fitrah semula jadi, yang lahir bersama manusia, cuma sama ada
ia subur atau terbantut bergantung kepada usaha manusia sendiri.
Contohnya
di kebun, benih jagung sudah ditanam dan terpulang kepada petani untuk
menyiram, memberikan baja dan menjaganya. Apabila benih itu baik, tetapi
tidak dijaga, mungkin ia mati sebelum tumbuh atau terbantut. Begitu
juga dengan hati.
Fitrah baik manusia apabila tidak disuburkan
dari awal kemungkinan mati akhirnya. Sebaliknya, jika peringkat awal
disuburkan ia akan berakar umbi di dalam hati sehingga dengan mudah hati
menjadi baik.
Apabila sudah terlewat baru hendak disuburkan,
agak sukar kerana ia umpama benih yang terbiar lama tanpa disirami,
dibajai dan dijaga.
Perasaan positif pada hati boleh terbantut
apabila dari kecil individu itu tidak dididik, dibimbing dan diasuh. Dia
terpaksa menempuhi kesukaran untuk menyuburkannya.
Benih yang
positif dijaga dan disuburkan dari peringkat awal akan terus subur dan
tidak perlu bersusah payah lagi apabila dewasa. Tetapi perasaan negatif
sejak kecil sukar disuburkan, sukar untuk ditebang apabila sudah dewasa,
ibarat pohon yang sudah teguh.
Antara benih positif ialah
perasaan kasih, penyayang, simpati, lemah lembut, pemurah, sopan, rendah
hati, hormat, taat, baik sangka, reda dengan ketentuan dan sabar dalam
menghadapi cabaran hidup manakala benih negatif ialah rasa benci,
pemarah, besar diri, bangga, dendam, dengki, khianat, bakhil dan suka
menabur fitnah.
Jadi, manusia sudah semestinya perlu berusaha
menyuburkan sifat positif dan memadamkan sifat negatif sekiranya mahu
kepada kejayaan, ketenangan dan keselesaan. Apabila sifat positif tumbuh
subur, secara tidak langsung benih negatif terbantut atau terus padam.
Dari
situ, hati sebagai raja kepada kerajaan diri mula disinari dengan
kebenaran dan kesucian, malah segala tindakan yang bakal dilakukan oleh
rakyatnya terdiri daripada anggota badan yang lain juga adalah tindakan
yang mulia lagi terpuji.